SEJARAH MA'AHAD AL-EHYA ASSHARIFF

SEJARAH MA'AHAD AL-EHYA ASSHARIFF


Gunung Semanggol, namanya tidak asing lagi bagi mereka yang menatapi sejarah pendidikan Islam tanah air. Sebut sahaja nama Gunung Semanggol kita tentu tidak akan lupa pada sekolah agama yang terkemuka suatu masa dahulu iaitu Ma'ahad Al-Ehya Asshariff. Di Gunung Semanggol ini jugalah tempat bertunasnya sebuah gerakan Islam, Hizbul Muslimin yang digeruni oleh Inggeris ketika itu. Seperti Gunung Semanggol yang tidak dapat dipisahkan dengan Ma'ahad Al-Ehya Asshariff, begitulah juga hubungan sekolah ini dengan seorang tokoh pejuang Islam, iaitu As-Sheikh Abu Bakar Al-Baqir yang menjadi tunggak masyarakat dan perkembangan pelajaran Islam di Gunung Semanggol.

Rentetan sejarah perkembangan pelajaran agama di sini bermula sejak tahun 1918 lagi dengan adanya pondok Ar-Rahmaniah pimpinan Tuan Haji Abd. Rahman Mahmud. Keperluan terhadap tempat belajar semakin dirasakan apabila pelajar-perlajar lepasan sekolah rendah tidak mempunyai tempat untuk meneruskan pelajaran. Di atas kesedaran tentang masalah ini di samping usaha-usaha menyebarkan ilmu secara lebih teratur dalam menyebarkan risalah Islam, maka masyarakat Gunung Semanggol telah berpadu tenaga mewujudkan sebuah sekolah agama.

Di atas tumpahan keringat masyarakat, terbangunlah sebuah sekolah pada 1 Muharram 1353 bersamaan 15 April 1934 yang diberi nama Madrasah Al-Ehya Asshariff. Dibawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, madrasah ini telah maju setapak demi setapak. Dengan terdirinya madrasah ini juga, pondok Ar-Rahmaniah telah dibubarkan oleh Tuan Guru Haji Abd. Rahman yang turut sama memerah tenaga membangunkan Madrasah Al-Ehya Asshariff pimpinan menantunya Ustaz Abu Bakar Al-Baqir itu. Pemimpin-pemimpin masyarakat seperti Tuan Guru Haji Abdullah Ibrahim, Tuan Haji Abd. Manaf dan lain-lain turut berkorban harta serta masa untuk menjayakan madrasah ini.

Di bawah mudir pertamanya, iaitu Ustaz Abu Bakar, Madrasah Al-Ehya Asshariff telah berkembang pesat dengan pelajar-pelajarnya semakin bertambah berbanding dengan hanya 144 orang pada waktu pembukaannya dalam tahun 1934 dahulu. Untuk menguruskan pertambahan pelajar ini, jawatankuasa pentadbiran dibentuk yang terdiri daripada Allahyarham Tuan Haji Abd. Rahman, Allahyarham Tuan Haji Abdul Manaf dan Allahyarham Ustaz Yahya Abdullah. Pada tahun 1936 dengan permuafakatan masyarakat setempat dan para pelajar sendiri, mereka telah bergotong royang membina sebuah bangunan bagi kelas-kelas tambahan. Sebuah bangunan sekolah kayu dibina dalam tahun 1940 hasil daripada sumbangan derma orang ramai. Pada tahun ini juga Madrasah Al-Ehya ini telah ditukar namanya kepada Ma'ahad Al-Ehya Asshariff.

Perkembangan pesat sekolah agama rakyat ini tentu sekali memerlukan sumber kewangan untuk perbelanjaannya. Untuk itu, sebuah badan ditubuhkan bagi menjaga kepentingan dan kebajikan maahad ini, iaitu Persatuan Al-Ehya Asshariff yang didaftarkan pada 22 Februari 1940 dibawah fasal 19, Undang-Undang Kompeni Bab 58 dengan nombor pendaftaran 1016-A serta keahliannya terbuka kepada setiap muslimin.

Hasil kerjasama orang ramai dan para dermawan persatuan ini dapat mengumpul sejumlah harta bagi membiayai perjalanan Ma'ahad Al-Ehya Asshariff. Di antara sumbangan yang diterima oleh persatuan ini ialah tanah, dusun dan lain-lain harta yang diwakafkan oleh para dermawan seperti Y.A.M Che Teh, Tengku Permaisuri Perak, Allahyarham Tuan Haji Abd. Manaf, Penghulu Gunung Semanggol, Tuan Haji Awang serta dermawan-dermawan yang lain.

Seperti kata pepatah, muafakat membawa berkat, begitulah dengan maahad ini. Hasil dari permuafakatan masyarakat sekitarnya yang kuat mendokong cita-cita Islam, mereka telah berjaya memajukan institusi pendidikan Islam ini walaupun tidak mendapat bantuan pemerintah. Pada tahun 1941, maahad ini mempunyai lebih 400 orang pelajar lelaki dan 100 orang pelajar wanita. Sebanyak 270 buah pondok asrama disediakan oleh jawatankuasa pentadbiran sekolah ini dan pada tahun yang sama juga institusi pendidikan agama ini mempunyai harta kira-kira 50 ekar kebun dan sawah.

Apabila meletus Perang Dunia Kedua, perjalanan Ma'ahad Al-Ehya Asshariff terbantut seketika, hanya sebilangan kecil para pelajar meneruskan pelajaran dalam suasana perang itu. Walaubagaimanapun selepas Perang Dunia Kedua tamat, maahad ini telah pulih dan semakin aktif menyebarkan pendidikan Islam.

Di antara tahun 1948 - 1952 maahad bagaikan anak yatim kehilangan ibu bilamana mudirnya Ustaz Abu Bakar Al-Baqir ditahan dan dipenjarakan oleh Pentadbiran Inggeris kerana keterlibatan beliau dalam Hizbul Muslimin, sebuah parti politik Islam yang memperjuangkan cita-cita kaum muslimin dalam menegakkan Daulah Islamiah di negara ini.

Setelah dibebaskan pada tahun 1952, beliau telah berusaha bersungguh-sungguh memajukan semula maahad ini. Malah di atas usaha gigihnya harta kepunyaan Persatuan Al-Ehya Asshariff yang menjaga kepentingan maahad telah bertambah dengan pembinaan dua buah kilang padi dan mewujudkan bekalan elektrik kepada penduduk sekitar Gunung Semanggol. Ia juga dapat menanam modal dalam beberapa buah syarikat.

Selepas merdeka, Ma'ahad Al-Ehya Asshariff semakin berkembang maju dan pihak pemerintah juga telah mula memberi perhatian dengan bantuan dua buah asrama baru yang telah dirasmikan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 1959. Selain itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak (JAIP) juga menghulurkan bantuan RM500 sebulan pada maahad, sementara Kementerian Pelajaran memperuntukkan sebanyak RM5,300 setahun membantu sekolah agama ini. Pada tahun 1960 pelajar-pelajar maahad meningkat ke angka 722 orang, dan dalam tahun 1964 apabila peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) mula-mula diperkenalkan di sekolah ini, kejayaan yang dicapai oleh sekolah ini amat cemerlang sekali.

Pada masa ini Ma'ahad Al-Ehya Asshariff tetap meneruskan cita-cita perjuangannya ke arah melahirkan insan yang berilmu dan bertaqwa di samping berusaha menyebarkan risalah Islam kepada generasi muda agar mereka lebih memahami tuntutan fikrah Islamiah dan menghayati tasawwur Islam sebagai Ad-Din yang syumul seperti mana perjuangan yang telah didokong oleh bekas tokoh-tokoh pengajar maahad ini seperti Allahyarham Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan lain-lain lagi.

(sumber: http://www.arkib.gov.my/maahad_al_ehya)

USTAZ ABU BAKAR AL-BAQIR





Latar Belakang

Abu Bakar bin Mohd Said dilahirkan pada tahun 1907 di Gunung Semanggol. Al-Baqir yang bermakna "amat pintar" adalah gelaran yang diberikan oleh gurunya kerana kepintarannya dalam pelajaran sejak kecil lagi. Sehingga kini beliau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Beliau adalah daripada keturunan Jawa. Datuknya, Haji Abdul Jabar bin Abdul Rauf berhijrah dari Kendal, Jawa Tengah pada pertengahan abad ke-19. Pada mulanya datuknya menetap di Kelang. Kemudian berpindah ke Kuala Kurau, Perak dan akhirnya ke Gunung Semanggol.

Setiap tempat persinggahan datuk neneknya, mereka menjalankan kerja bercucuk-tanam, terutamanya bersawah padi.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung Semanggol dan pada tahun 1919 di Pondok Ar-Rahmaniah. Pada tahun 1924 di Pondok Da'irat Al-Ma'arif, Kepala Batas, Seberang Perai Utara. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir meneruskan pelajaran agama di Pondok Idrisiah, Kuala Kangsar dan kemudian menjadi ustaz pelatih di sekolah tersebut.

Seorang Aktivis Dakwah dan Politik

Sejak muda, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah bergiat cergas dalam perbagai persatuan separa-politik dan pertubuhan politik Melayu seperti:
· Persatuan Melayu Pulau Pinang
· Persatuan Melayu Perak
· Persatuan Sunligh Taiping
· Kelab Saadat Kuala Kangsar
· Kesatuan Melayu Muda (KMM)
· Angkatan Pemuda Insaf (API)
· Barisan Tani Se-Malaya (BATAS)
· Pembantu Indonesia Merdeka (PIM)
Penglibtannya dalam persatuan-persatuan inilah yang menyebabkan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir amat rapat dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pemimpin PKMM, Dr. Burhanuddin Al-Helmy. PKMM ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di lpoh, Perak

Usaha Pembaharuan

Pada akhir tahun 1920an, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah membuka kelas pendidikan Islam bernama Kanzal Ma'arif. Berlainan dengan sistem menadah kitab yang diamalkan pada masa itu, kelas-kelas ini memperkenalkan sistem perbincangan dan perbahasan bahan-bahan pengajian ilmu pengetahuan.

Tujuan diadakan pendekatan seperti ini adalah untuk melahirkan ahli-ahli dakwah dan mubaligh Islam yang bertepatan dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Kelas-kelas ini diadakan setiap malam Selasa dan Jumaat setiap minggu. Mereka yang menduduki kelas-kelas ini adalah terdiri daripada mereka yang dipilih sahaja. Usaha ini menghasilkan kejayaan yang menggalakkan.

Pada peringkat ini juga Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah terdedah dengan pemikiran Kaum Tua dan Kaum Muda. Disebabkan pengaruh gurunya serta pendedahan beliau di madrasah-madrasah yang digerakkan oleh gerakan Islah yang mewakili Kaum Muda, beliau lebih cenderung ke arah pendekatan pembaharuan.

Maahad Al-Ehya Al-Sharif

Pada tahun 1934, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bersama beberapa orang pemimpin tempatan telah menubuhkan Maahad Al-Ehya Al-Sharif di Gunung Semanggol. Nama Al-Ehya Al-Sharif memberi erti "menghidupkan kemuliaan". Dengan menghidupkan kemulian agama inilah diharapkan akan tercetusnya masyarakat yang memuliakan dunia dan Akhirat di kalangan bangsa Melayu.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dilantik sebagai mudir Maahad Al-Ehya Al-Sharif. Jawatan ini dipegangnya hingga ke akhir hayatnya pada tahun 1974.

Usaha pembaharuan ini diteruskan pada tahun 1940 dengan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir menubuhkan Persatuan El-Ehya Al-Sharif (Berhad). Persatuan ini berperanan sebagai badan yang mengurus dan melaksanakan hal-ehwal sekolah. Sebuah Lembaga Pengurus yang bertindak secara kolektif telah diwujudkan.

Meluaskan Pembaharuan 

Kelahiran Al-Ehya pada tahun 1934 adalah seiring dengan matangnya fahaman Islah di kalangan umat Islam di Tanah Melayu. Pergerakan Islah atau Kaum Muda yang dipopularkan pada awal abad itu telah banyak mempengaruhi pelajar-pelajar madrasah.

Kemahuan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir untuk mendirikan Al-Ehya bertambah kuat apabila masih kurang madrasah yang menekankan pendidikan dunia dan Akhirat di Kawasan Kerian, Perak. Untuk tujuan tersebut, beliau melepaskan jawatannya di Pondok Idrisiah, Kuala Kangsar.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendirikan Al-Ehya di Gunung Semanggul kerana berpandangan tidak sesuai baginya untuk memajukan bangsa jika terikat dengan iklim istana. Lagipun, para ulamak di Idrisiah amat condong kepada kemahuan status quo golongan tradisional aristokrat diraja.

Dalam perkembangan inilah Al-Ehya menerima guru-guru dari Timur Tengah dan Indonesia yang berfahaman Islah dan Reformasi Islam sebagai tenaga pendidiknya.

Guru-guru dari Indonesia ini terdiri daripada aktivis pergerakan Muhammadiah yang terkenal sebagai Kuam Muda di Indonesia.

Sejak itu, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir juga telah menjadikan Maahad El-Ehya Al-Sharif sebagai pusat gerakan sosiopolitik, sosioekonomi dan kegiatan politik berparti berdasarkan Islam dari tahun 1934 hingga Darurat diisytiharkan pada tahun 1948.

Pembaharuan melalui Ekonomi

Pada tahun 1947, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mempengerusiakn satu jawatankuasa perhimpunan besar yang dinamakan Persidangan Ekonomi-Agama se Malaya. Persidangan ini diadakan di Maahad Al-Ehya Al-Sharif.

Tujuan persidangan tersebut dinyatakan sebagai untuk "berusaha meluaskan penyiaran agama dan berusaha mempertinggikan ekonomi bangsa dan negara yang sudah hampir lenyap ke tangan asing".

Persidangan tersebut dihadiri oleh 2,000 orang alim ulamak dan cerdik pandai dari seluruh Tanah Melayu yang berkelulusan dari sekolah-sekolah tinggi Mesir, Arab Saudi, India dan Indonesia. Wakil-wakil dari Singapura juga turut hadir.

Persidangan tersebut berjaya menubuhkan Pusat Perekonomian Melayu seMalaya atau ringkasnya PEPERMAS. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dipilih sebagai Yang Di Pertua (YDP) bagi PEPERMAS.

Sejurus penubuhannya, PEPERMAS telah menyusun kerja-kerja ekonomi, melantik badan-badan ekonomi serta menggariskan kerja-kerja derma pelajaran bagi pelajar-pelajar di madrasah-madrasah seluruh Tanah Melayu.

Pembaharuan dalam Pentadbiran Agama

Majlis Agama Tinggi atau MATA juga ditubuhkan pada tahun 1947, iaitu sehari selepas PEPERMAS. MATA juga ditubuhkan di Al-Ehya Al-Sharif, Gunung Semanggol. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dilantik sebagai penasihat kanan.

MATA ditubuhkan dengan tujuan untuk membetulkan pengurusan dan pentadbiran hal-ehwal agama Islam yang ditadbir oleh ulamak tradisional dan raja Melayu. MATA adalah satu tamparan yang hebat kepada golongan yang bekerja dalam pertubuhan ulamak negeri dan pejabat agama negeri-negeri. Ini kerana MATA bertujuan menjadi badan agung untuk mengelolakan soal agama. MATA juga secara langsung berhasrat menggantikan badan-badan agama yang telah wujud di setiap negeri.

Pembaharuan melalui Pendidikan

Pada tahun 1947 juga, sebuah badan yang dinamakan LEPIR atau Lembaga Pendidikan Rakyat telah ditubuhkan. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dipilih menjadi pengerusi LEPIR.

LEPIR adalah hasil usaha daripada Jawatankuasa badan Kebajikan Pelajaran MATA yang telah mengadakan pemerhatian di seruh Tanah Melayu dan Singapura perihal kurangnya umat Melayu-Islam dalam bidang pendidikan. Melalui LEPIR, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah diberi tanggungjawab untuk memajukan sekolah agama di seluruh Tanah Melayu.

Melalui LEPIR juga Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah menggabungkan semua sekolah rakyat di Tanah Melayu, melahirkan satu sistem persekolahan serta membentuk satu sukatan pelajaran yang seragam bagi semua sekolah rakyat. LEPIR di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah mengusahakan penerbitan buku pelajaran agama dan bahasa Arab bagi seluruh Tanah Melayu.

Dengan menerajui LEPIR, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir juga telah menjuruskan usaha ke arah penubuhan sebuah universiti Islam dengan menubuhkan sebuah tabung mengumpul dana daripada rakyat.

Pembaharuan melalui Politik Islam 

Pada 14 Mac 1948, dalam Persidangan MATA, sebuah "Parti Orang-Orang Islam Malaya" atau dikenal dengan nama Hizbul Muslimin telah ditubuhkan. Nama Hizbul Muslimin telah dicadangkan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan disokong oleh Ustaz Abrab Tamimi dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy.

Hizbul Muslimin mengambil semangat penubuhannya daripada Masjumi di Indonesia dan Ikhwan Muslimin di Timur Tengah. Hizbul Muslimin ditubuhkan bagi memperjuangkan kemerdekaan tanahair berasaskan Islam.

Dasar parti ini adalah atas "Islam semata-mata bagi mencapai kemerdekaan bangsa Melayu yang berdaulat, menciptakan masyarakat berdasarkan Islam dan mencapai Tanah Melayu Darul-Islam". Dalam persidangan tersebut Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dipilih menjadi Ketua Umum Hizbul Muslimin.

Tamparan kepada UMNO 

Dalam persidangan penubuhan MATA di Maahad Al-Ehya Al-Sharif, pemimpin-pemimpin UMNO berasa sangat ragu-ragu dan berusaha mengelakkan diri daripada menyertainya. Tidak ramai di kalangan tokoh UMNO yang hadir dalam persidangan tersebut.

Sebaliknya pemimpin-pemimpin PKMM ramai yang hadir. Bahkan ramai anggota PKMM yang mengambil bahagian penting dalam menggerakkan beberapa jawatankuasa di bawah MATA. Keadaan ini merupakan satu tamparan yang hebat kepada UMNO yang baru saja ditubuhkan itu.

Satu lagi tamparan terhadap UMNO adalah apabila PEPERMAS ditubuhkan. Dengan penubuhan PEPERMAS ia menjadi saingan hebat kepada bahagian iktisad UMNO. Bahagian ini sedang giat merangka perancangan ekonomi lima tahunnya yang pertama dan mahukan sokongan ramai orang Melayu.

Sejak itu lagi pihak UMNO telah membuat ancaman dengan menggunakan ungkapan "bahaya dari gunung" terhadap tuntutan dan usaha yang dilakukan oleh aktivis Islam daripada MATA.

Penubuhan Hizbul Muslimin seterusnya memberi tamparan yang sangat hebat kepada UMNO. UMNO menolak penubuhan Hizbul Muslimin.

Sebaliknya, sebagai parti yang memperjuangkan kemerdekaan, PKMM menjadi parti yang sangat berdamping rapat dengan Hizbul Muslimin.

Pusat Memperjuangkan Kemerdekaan 

Pada masa itu Maahad Al-Ehya Al-Sharif menjadi pusat, sedangkan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir menjadi ikon bagi perjuangan kemerdekaan.

Ketika itu UMNO di bawah Dato Onn Jaafar tidak memperjuangkan kemerdekaan. Bahkan aktivis kemerdekaan sering diejek dengan kata-kata "nak buat sebatang jarum pun tak pandai, inikan mahu merdeka". Di bawah kepemimpinann Ustaz Abu Bakar Al-Baqir beberapa persidangan bagi menyemarakkan tuntutan kemerdekaan telah diadakan.

Hubungan peribadi yang baik di antara Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dengan pemimpin PKMM seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmi, pemimpin Melayu Parti Komunis Malaya (PKM) seperti Abdullah C.D dan juga pemimpin-pemimpin kiri seperti Ahmad Boestamam dan lain-lain menjadikan semua persidangan yang dipanggil di atas nama Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendapat sambutan yang amat luar biasa.

Suasana keterbukatan dan perkongsian yang diwujudkan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir menjadikan semua pihak yang mahukan Tanah Melayu merdeka, merasakan sumbangan mereka masing-masing dihargai.

Tidak hairan kenapa beberapa pendukung PKMM dan PKM beranggapan bahawa Hizbul Muslimin adalah sayap politik Islam bagi PKMM sebagaimana API adalah sayap pemuda dan AWAS adalah sayap wanita bagi PKMM.

Pada masa itu terdapat ramai anggota-anggota Melayu daripada PKM yang pada masa yang sama juga merupakan anggota dan penggerak utama bagi PKMM.

Bagi sebahagian orang Melayu, PKM pada masa itu adalah satu saluran perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan. Tambahan lagi semasa pendudukan Jepun mereka turut serta dalam Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya atau MPAJA. MPAJA adalah front utama PKM dalam perang gerila menentang penjajah Jepun. Selepas berakhir Perang Dunia Kedua, pelbagai kumpulan politik Melayu kecuali UMNO, berkongsi satu cita-cita yang sama, iaitu untuk membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British.

Demikian juga bagi aktivis Islam, dengan tertubuhnya Hizbul Muslimin mereka mahu menjadikan MATA sebagai jabatan agama, LEPIR sebagai jabatan pendidikan dan PEPERMAS sebagai jabatan ekonomi di bahawa Hizbul Muslimin.

Apapun, Al-Ehya dibawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dalam persidangan-persidangan ini telah menaik dan mengibarkan bendera merah putih berbintas duabelas yang melambangkan bendera Malaya Merdeka. Bendera ini telah diluluskan oleh pakatan politik berbilang kaum PUTERA-AMCJA yang dipengerusikan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi pada tahun 1947.

Tamparan berubah Menjadi Hasutan

Penubuhan Hizbul Muslimin menambah lagi tamparan kepada UMNO. Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh Dato Onn Jaafar terhadap Hizbul Muslimin menyebabkan pentadbiran penjajah British melakukan pengawasan yang ketat dan tekanan yang hebat terhadap Hizbul Muslimin.

Dato Onn mengulang ancamannya dengan mengatakan: "Bahaya dari Gunung itu masih ada lagi dan ditambah pula satu merbahaya lagi yang tumbuh dari tanah dan menjalar akarnya supaya orang-orang Melayu terhapus dan terjatuh kerana sebenar-benarnya parti Islam itu 'merah"."

Keterbukan pemimpin-pemimpin Islam seperti Ustaz Abu Bakar Al-Baqir untuk bergabung tenaga dengan semua pergerakan rakyat yang menentang British dan memperjuangkan kemerdekaan dilihat sebagai ancaman oleh Dato Onn dan UMNO pada masa itu. Lantaran itu Hizbul Muslimin dilabel oleh Dato Onn sebagai "merah" dan dengan itu Dato Onn telah berjaya menghasut penjajah British untuk menganggap parti Islam itu sebagai pro-komunis.

Pengintipan dan Penangkapan

Dengan tuduhan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO, pengintipan berterusan dilakukan terhadap Hizbul Muslimin. Banyak pengintipan dan laporan kepada pihak polis dilakukan oleh Penghulu Muda yang baru sahaja didatangkan ke Gunung Semanggol pada awal tahun 1948. Beliau adalah saudara kepada Datuk Zainal Abidin Abas, iaitu orang kuat UMNO yang juga merupakan kawan baik kepada Dato' Onn.

Sebenarnya penghantaran Penghulu Muda itu adalah kehendak UMNO untuk mengintip pergerakan Al-Ehya dan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Akhirnya Penghulu Muda itu mati dalam keadaan yang tidak baik iaitu selepas meminum arak. Kepercayaan seperti ini amat berpengaruh kepada umat Islam di Gunung Semanggol pada masa itu. Peristiwa seperti inilah yang menjadikan orang-orang Melayu di Gunung Semanggol terus menolak UMNO.

Pada pukul 12:00 tengahari, 29 Julai 1948, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir ditangkap di bawah Undang-Undang Darurat. 

Lima Tahun Merengkok dalam Penjara

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir ditahan tanpa bicara di atas alasan "bahaya kepada keselamatan Tanah Melayu". Beliau bersama-sama lebih 300 tokoh politik agama dan pemimpin Melayu ditahan kerana dituduh menentang British.

Tuduhan sampingan yang dikenakan sebagai alasan menahan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir adalah beliau ada berkempen menyeru orang ramai supaya jangan membeli susu dan sabun dari kedai kaum Cina di Gunung Semanggul!

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir ditahan selama enam bulan di penjara Taiping, kemudian dipindahkan sebagai tahanan politik di Pulau Jerjak. Beliau ditahan di Pulau Jerjak selama setahun setengah.

Semasa beramai-ramai di penjara Pulau Jerjak, mereka telah membuat pakatan iaitu apabila keluar nanti ada di kalangan mereka secara langsung atau tidak langsung hendaklah menjalankan jarum ke dalam UMNO untuk menukar UMNO dari slogan "Hidup Melayu" kepada slogan "Merdeka".

Kemudian Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dipindahkan ke penjara di Tanjung Beruas Melaka dan akhirnya ke penjara Ipoh. Selepas dipenjarakan selama empat tahun tiga bulan, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dibebaskan pada bulan Oktober 1952.

Walaupun penjajah British tidak secara rasmi mengeluarkan perintah mengharamkan Hizbul Muslimin, namun tindakan British menahan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bersama-sama 300 orang pemimpin dan para aktivis, telah menjadikan Hizbul Muslimin lumpuh sama sekali.

Terus Berjuang 

Sebagai pengasas parti lslam pertama di negara ini, Ustaz Abu Bakar al-Baqir mempunyai matlamat untuk mencapai kemerdekaan negara yang berdaulat bagi membentuk sebuah masyarakat yang berasaskan kepada kefahaman lslam serta mewujudkan Darul lslam. Dalam pendiriannya, ia menyokong PKMM tetapi sekeras-kerasnya menolak perjuangan UMNO.

Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di lpoh, Perak dan beberapa bulan selepas itu barulah UMNO ditubuhkan.

Semasa Darurat semua kegiatan politik telah diharamkan oleh British. Namun UMNO dibenarkan bergerak cergas oleh penjajah British bagi mengatur jentera ke arah pilihanraya 1955. Dalam pilihanraya tahun 1955, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bertanding sebagai calon Perikatan Melayu Perak menentang calon UMNO, tetapi gagal.

Ustaz Abu Bakar Al-Bakir tidak menjadi calon PAS yang telah pun ditubuhkan pada tahun 1951. Sebaliknya satu pakatan politik dan kerjasama telah diwujudkan di antara PAS dengan Perikatan Melayu Perak. Pendekatan ini adalah satu strategi yang dirasakan perlu bagi melindungi Maahad Al-Ehya Al-Sharif.

Sumbangan kepada Gerakan Islam

Walaupun aktiviti di atas nama Hizbul Muslimin berakhir disebabkan perintah Darurat, namun keghairahan sokongan rakyat khususnya dari alim ulamak terhadap perjuangan politiknya amatlah memberangsangkan. Semangat dan sokongan kental inilah yang akhirnya merintis jalan ke arah penubuhan PAS pada tahun 1951.

Dalam hal ini, ramai ahli sejarah berpendapat penghargaan dan pengiktirafan perlulah diberikan kepada Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, pengasas Maahad Al-Ehya Al-Sharif, pemimpin MATA, PEPERMAS, LEPIR dan seterusnya Hizbul Muslimin yang telah meletakkan asas utama bagi penubuhan PAS.

Anugerah

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah meneruskan usaha baktinya memajukan Maahad El-Ehya Al-Sharif hingga ke akhir hayatnya pada bulan Julai, 1974.

Pada tahun 1960an, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dilantik menjadi anggota Majlis Agama Perak.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dianugerahkan pingat Jasa Perdana (J.P) dan Pingat Jasa Kebaktian ( P.J.K)

Setelah pemergiannya, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir juga telah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Perak 1975.

(sumber: http://5tokoh.blogspot.com)